SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini  tidak mahu ahli politik Selangor menghabiskan masa yang banyak dengan  berpolitik sahaja tanpa mengira tempat tempat dan masa.
"Di dalam Dewan ini, gunakanlah kesempatan yang terhad untuk  membincangkan dasar-dasar yang baik dan janganlah berkelakuan yang tidak  sepatutnya.        "Semua Ahli Dewan harus memberi contoh baik (mengenai) akal-budi kepada  semua," titah baginda pada majlis perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama  Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 di sini hari  ini.
Sultan Sharafuddin bertitah sebagai Ketua Negeri, baginda ingin melihat  Selangor terus berkembang maju dan kerajaan dapat menjalankan amanah  kepada rakyat dengan cekap dan lancar.
"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan  dan memang diakui bahawa sistem semak dan imbang diperlukan bagi  memastikan semua kepentingan dapat diteliti," titah baginda yang ingin  melihat semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah  dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik.
Baginda bertitah, Perlembagaan Negara memberikan hak kepada semua  pihak dan sifat perlembagaan sebenarnya untuk melindungi rakyat sama ada  daripada segi politik, ekonomi dan sosial.
"Justeru itu, fahamilah Perlembagaan Negara agar kita tidak  berlebihan dalam usaha menuntut hak masing-masing," titah baginda.  
Selaras dengan peruntukan Perlembagaan, baginda bertitah penjawat  awam wajib mengamalkan sikap neutral, profesional, prinsip  kecemerlangan, etika yang unggul dan peka terhadap kerajaan yang  memerintah serta mematuhi undang-undang negara.
"Prinsip profesional dan berkecuali di sini bererti ia bertugas  untuk kerajaan semasa yang memerintah dan membuat keputusan adil tanpa  mengira sentimen politik, agama dan kaum," titah baginda.
Selangor adalah penyumbang utama kepada pendapatan negara  dianggarkan sebanyak 21 peratus dan dalam hal ini kerajaan negeri dan  persekutuan saling memerlukan, titah baginda.
"Beta berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan  Persekutuan dipereratkan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri  Selangor yang beta kasihi ini," titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga bertitah dasar liberalisasi ekonomi di  peringkat Kerajaan Persekutuan harus disambut sebagai cabaran  menempatkan perkhidmatan bermutu demi faedah rakyat Selangor kerana ia  penting supaya negeri ini tidak ketinggalan ketika pelaburan luar masuk  dengan banyaknya.
Justeru, Kerajaan Selangor harus memikirkan produk-produk  pelancongan sama ada berbentuk alam sekitar yang asli atau lokasi buatan  manusia, budaya-agama atau program-program berkala dengan tema-tema  tertentu, titah baginda.
Baginda bertitah perkhidmatan pengangkutan awam dan khidmat pengguna  yang berkesan amat diperlukan bagi menjayakan aspirasi ini yang akan  memberi kesan positif untuk semua pihak sama ada negeri, penggerak  industri perkhidmatan atau pelancongan.
Jentera kerajaan negeri juga perlu membuat anjakan paradigma untuk  meningkatkan produktiviti kerja dan baginda menekankan Petunjuk Prestasi  Utama(KPI) dapat dikemas kini dan dipantau dengan rapi.
Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa baginda juga prihatin  terhadap perkembangan jenayah di Selangor dan faham bahawa hal jenayah  adalah isu yang  kompleks dan tidak mudah diuruskan apatah lagi mencari  kesalahan mana-mana pihak.
"Oleh sebab Kerajaan Persekutuan juga menyatakan komitmen mereka  untuk memerangi jenayah, beta berharap kerajaan beta sedia memberikan  kerjasama sewajarnya.
"Beta mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia  Selangor atas segala usaha yang dilaksanakan bagi melindungi keselamatan  rakyat di negeri ini," titah baginda.
Baginda bertitah kepesatan pembangunan di Selangor terhasil daripada  kejayaan rakyat mengekalkan keharmonian antara kaum dan ini tidak  mungkin berlaku tanpa kerjasama semua pihak dan baginda berkenan supaya  keharmonian masyarakat majmuk di Selangor menjadi model nasional.
"Beta percaya kita semua boleh memberi komitmen bahawa segala  perbezaan antara kita merupakan suatu aset dan bukan punca perbalahan.  Buangkanlah segala prejudis yang ada kerana apa juga cabaran yang bakal  dihadapi tidak pernah mengenal warna dan keturunan," titah baginda.
Justeru, media massa perlu memainkan peranan dalam membina  masyarakat dengan memberikan laporan yang tepat dan berkualiti kepada  rakyat kerana mereka memerlukan sumber maklumat yang tepat, berobjektif  di samping mendidik dan membina pemikiran, titah baginda. - Bernama