09 April 2010
Benjy cabar tindakan polis
Melalui permohonan itu, Benjy  atau Khaireyll Benjamin Ibrahim, 32, selaku pemohon menamakan Ketua  Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai  responden.     Perkara lain yang dipohon ialah deklarasi bahawa  penangkapan dan penahanan Benjy mengikut Seksyen 3 dan atau mana-mana  Seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas)  1985 (Akta 316) adalah tidak sah, satu nuliti dan bersifat mala fide.
 Selain itu, perintah bahawa writ habeas corpus dikeluarkan bagi  pemohon dihadapkan dan atau dibawa ke mahkamah serta-merta.
 Selanjutnya dan selepas pemohon dibebaskan, perintah bahawa pemohon  tidak dapat ditangkap dan atau ditahan semula.
Permohonan  habeas corpus itu dibuat sejurus selepas prosiding berhubung pertuduhan  memiliki dadah di Mahkamah Majistret di sini, selesai.  Sebelum itu, Amer Hamzah memohon mahkamah supaya dia dan keluarga  Benjy dibenarkan berjumpa pelakon itu untuk satu tempoh yang munasabah  bagi tujuan memberitahu anak guamnya berhubung prosiding yang  dihadapinya dan mengambil arahan selanjutnya daripada tertuduh.
 “Saya perlu berjumpa anak guam untuk membincangkan mengenai habeas  corpus yang ingin dibuat dan perlu mendapatkan tandatangan Benjy pada  afidavit yang dibuat.
“Kami sudah sediakan afidavit dan  membawa pesuruhjaya sumpah ke mahkamah. Mohon mahkamah membenarkan kami  untuk berjumpanya (Benjy),” katanya.     Majistret Hafizza Sauni  membenarkan Amer Hamzah berjumpa Benjy dan menangguhkan prosiding  kira-kira setengah jam.
Selepas perjumpaan itu, Benjy yang  pada mulanya memakai pakaian lokap berwarna jingga menukar bajunya dan  memakai kemeja hitam ketika masuk ke kandang tertuduh.
Dia  sempat melemparkan senyuman kepada ibunya, aktres Azean Irdawaty, bapa,  Khairil Anwar serta dua adiknya, Elza Irdalyna dan Inessa Irdayanty.      Timbalan Pendakwa Raya Nurmadiana Mamat berkata, tindakan penahanan  semula Benjy oleh polis pada 25 Mac lalu adalah tindakan betul.     “Ini  kerana kes tahan semula biasa berlaku sekiranya polis mendapat maklumat  dan polis juga sudah memberi penjelasan mengapa Benjy ditahan semula,  sebab itu saya katakan polis berada di landasan betul,” katanya.   Nurmadiana berkata, isu yang dibangkitkan Amer Hamzah bahawa dia  tidak bertemu anak guamnya ketika Benjy berada dalam tahanan mengikut  Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)  1985 juga tidak timbul memandangkan kes semalam ialah mengikut Seksyen  12 (2) Akta Dadah Berbahaya.
Mahkamah menetapkan 12 Mei  depan untuk sebutan kes itu selepas membenarkan permohonan Amer Hamzah  untuk membuat representasi terhadap pertuduhan itu.
 
