20 August 2010

rasah jaya masuk mymetro online : balai semak??

SEREMBAN: Kira-kira 12,500 penduduk Taman Rasah Jaya Fasa 5, Rasah, dekat sini, menggesa pihak berkaitan menunaikan janji sejak lebih lima tahun lalu untuk membina sebuah balai polis di taman perumahan itu.

BERSEMAK...Norasham (kanan) menunjukkan tapak balai polis di Taman 
Rasah Jaya Fasa 5 yang dipenuhi semak-samun.

BERSEMAK...Norasham (kanan) menunjukkan tapak balai polis di Taman Rasah Jaya Fasa 5 yang dipenuhi semak-samun.
Mengikut perancangan, tapak untuk membina balai polis sudah ditetapkan, namun ia kini dipenuhi semak-samun.

Penduduk melalui Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman terbabit berharap balai polis itu didirikan secepat mungkin kerana mereka bimbang kejadian jenayah seperti ragut, curi kereta dan motosikal serta pecah rumah yang kerap berlaku di taman itu dan memerlukan pengawasan lebih proaktif.

Pengerusi KRT taman itu, Norasham Jaafar, berkata taman berkenaan memerlukan balai polis.

Beliau berkata, kewujudan balai polis bukan saja untuk kepentingan keselamatan penduduk Taman Rasah Jaya, malah ia juga untuk dimanfaatkan penduduk empat lagi taman perumahan berhampiran iaitu Taman Nuri Indah, Taman Seremban 3, Taman Desa Rasah dan Taman Harapan Baru yang penduduk keseluruhannya dianggarkan 8,000 orang.

“Walaupun terdapat sebuah pondok polis sementara yang menggunakan kontena dan terletak berhampiran masjid taman itu, ia hanya menempatkan dua anggota bagi mengawasi kawasan ini.

“Tentunya sukar untuk anggota terbabit mengawasi sepenuhnya kawasan ini.

“Saya berharap projek itu disegerakan kerana sehingga kini tapak berkenaan dipenuhi semak-samun yang bukan saja boleh mengundang bahaya kepada orang ramai, malah menjejaskan imej taman ini,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya pernah menghantar surat kedua kepada pihak berkaitan pada Julai 2008 bagi mendapatkan perkembangan mengenai pembinaan balai polis terbabit, tetapi tidak mendapat maklum balas positif, malah sehingga kini tiada usaha dilakukan untuk merealisasikan pembinaan itu.

Norasham berkata, walaupun KRT taman itu menubuhkan Sistem Rondaan Sukarela (SRS) bagi mengawasi kegiatan tidak sihat termasuk jenayah, ia hanya membabitkan rondaan pada malam hari kerana sebahagian besar ahli ronda bekerja pada siang hari dan tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya.

“Anggota SRS hanya dapat membantu pihak berkuasa melakukan rondaan dalam kawasan taman pada malam hari, tetapi kejadian jenayah seperti ragut berlaku pada siang hari terutama ketika ramai penduduk bekerja.

“Justeru, kami berasakan sudah sampai masanya taman ini mempunyai balai polis yang menempatkan lebih ramai anggota bertugas bagi membolehkan penduduk merasa lebih selamat dan taman bebas daripada sebarang kegiatan jenayah,” katanya.

Norasham berkata, tambahan pula pihaknya difahamkan pondok polis itu terletak dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mula beroperasi kira-kira 20 tahun lalu iaitu sejak taman itu mula diduduki.

Katanya, wajar sebuah balai polis didirikan di kawasan itu demi kepentingan dan keselamatan penduduk.

“Saya bagi pihak penduduk taman ini berharap masalah ini mendapat perhatian demi kepentingan bersama,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa KRT taman itu, Hisham Hashim, 42, berkata penduduk taman ini amat mengharapkan pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi membina bangunan balai polis di taman itu.

“Kami terpaksa memastikan taman ini bebas jenayah, namun kami tidak dapat memberikan tumpuan sepanjang masa kerana mempunyai komitmen lain terutama berkaitan tugas harian,” katanya yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).